DARIPADA Aisyah, katanya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa Baginda akan berpuasa seterusnya. Dan Baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya pada Syaaban. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang Arab pada bulan itu akan berhijrah ke tempat lain untuk mencari air sehingga ke gua-gua. Ada mengatakan, Syaaban tanda pemisah yang memisahkan Rejab dan Ramadan. Dapat disimpulkan, pengertian Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan memasuki Ramadan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan, sesungguhnya Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, Syaaban pula adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan dan Ramadan adalah masa untuk menerangkan hati dan membersihkan jiwa.
Antara amalan digalakkan pada Syaaban adalah memperbanyakkan puasa sunat. Kitab Durratun Nasihin ada menyebut Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang yang beribadat kepada Allah selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.
Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit. (Dipetik daripada kitab Zubdatul Waizhin)
Bertaubat dan meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan al-Quran kerana malam itu adalah malam yang amat mustajab dan penuh dengan rahmat.
Sumber: BH online
No comments:
Post a Comment